Tuesday, May 31, 2011

Ulasan bosan penutup musim

Pada mulanya memang semangat berkobar kobar nak buat satu post pasal kemenangan Manchester United dalam Liga Perdana England kali ke sembilan belas. Untuk yang tak tahu, kemenangan kali ini signifikannya lebih sikit. Sebabnya Liverpool baru menang lapan belas kali jadi bila menang sembilan belas kali, maknanya Man Utd dah menang lebih sekali dari Liverpool. Ah, budak budak pun tahu kira matematik semudah ini!

Tapi lepas itu aku pikir bagus juga kalau digabungkan sekali dengan kemenangan Man Utd kali ketiga dalam Piala Juara Juara. Masa itu memang yakin habis yang Man Utd boleh menang. Walaupun 'underdog' tapi main kat Wembley. Tanah air sendiri tu. Mesti semangat nak menang berkobar kobar kan?

Tapi aku silap. Ya, aku silap di situ. Yang main hari itu, hanya empat orang yang boleh mengaku England sebagai negara mereka. Rio Ferdinand, Michael Carrick, Wayne Rooney dan Paul Scholes. Macam mana nak ada semangat tanah air kan.

Satu lagi silap aku ialah tak pernah tengok Barcelona main musim ini. Ya, tak pernah langsung. Sebab itu tak tahu yang Barcelona ini melampau hebatnya sekarang. Dulu pun melampau juga.

Man Utd memang diayam ayamkan pagi Ahad lepas. Banyak faktor kekalahan yang malas aku nak ulas. Aku rasa corak permainan memang yang macam selalu Man Utd amalkan tapi bahagian serangan seolah terputus bekalan dari bawah apabila bahagian tengah tak berupaya nak bermain dengan Xavi dan Iniesta. Dan apabila melihat SAF terduduk di bangku dengan kaki bersilang dan merenung kosong, aku rasa masa itu pun dia dah terima hakikat yang skuad dia tak mampu melawan skuad Barcelona pada masa kini.

Jadi, sekarang nak buat post riak pasal Man Utd menang liga pun dah tak berapa nak semangat..huahuahaua. Tapi yang lawaknya, ada pula orang yang kutuk lebih lebih atas kekalahan Man Utd dalam Piala Juara Juara. Faktanya di sini, Man Utd juara England dan pasukan kedua terhebat di Eropah untuk musim ini. Tak lebih tak kurang. Itu satu pencapaian hebat yang harus dibanggakan.

Masa rehat hampir tiga bulan ini pastinya digunakan untuk mempersiapkan pasukan selepas kehilangan Van Der Sar dan Paul Scholes akibat persaraan. Berbatov pun dengar kata nak berambus. Aku rasa, bahagian tengah yang paling penting pada masa ini. Satu pemain yang berpengalaman diperlukan untuk mengawal tengah dan membimbing pemain pemain muda. Bukan senang nak jadi 'anchor' dalam pasukan hebat macam ini.

Apapun, bagi aku musim ini menghiburkan. Aku harap musim depan pun begitu. Dengan wajah wajah baru dan pemain pemain muda macam Rafael, Fabio, dan Smalling lebih kerap bermain. Oh ya, dan jual pemain pemain yang tidak menyerlah.

Sementara itu, kita layan dahulu gambar ini sebagai penaik semangat.

Monday, May 30, 2011

Selangorlicious - Pengalaman Bertarung dengan Siakap Tiga Rasa


Mencari ikan bakar tidaklah sukar di Selangor. Kalau di'google' dalam internet akan lokasi ikan bakar, antara yang popular pastinya di Jeram, Kuala Selangor. Namun begitu, walaupun populariti selalunya hadir atas pengiktirafan orang ramai, tidaklah aku percaya sebelum mencuba sendiri kerana bagi aku sedap itu subjektif untuk setiap individu. Bak kata peribahasa yang aku cipta sendiri, lidah sama merah, rasa lain-lain.


Oleh itu, berangkatlah aku ke daerah yang pernah menjadi kota diraja lama Selangor itu. Dikelilingi suasana kampung dan keunikan semulajadi seperti habitat kelip kelip, Kuala Selangor pasti menjadi antara tumpuan pelancong. Itu yang dapat aku simpulkan usai sampai dan melihat kelibat pelancong memenuhi meja makan di Aroma Ikan Bakar hujung minggu lepas.


Peraturan dunia, bila pelanggan ramai haruslah servisnya sedikit lambat dan kurang mesra pelanggan. Itu semua sudah aku faktorkan maka tidaklah aku merungut semasa menunggu makanan.
Duduk berlatarkan kanvas malam, aku dan pasangan memilih sotong celup tepung dan kerang rebus sebagai pembuka selera sementara menanti hidangan utama, ikan siakap tiga rasa bersama nasi putih. Cukup untuk dua orang makan, tak lebih tak kurang.


Tak perlu pertikaikan kesegaran ikan bakar di sini kerana lokasinya terletak bersebelahan jeti pendaratan nelayan. Tidak percayakan sesiapa kecuali diri anda? Pilih sendiri pelbagai ikan segar yang disediakan dan berikan kepada jurutimbang sebelum disiang dan dimasak mengikut pilihan hati.


Si Penglipurlara handalan pun belum tentu dapat menghadirkankan rasa ikan siakap segar yang dimasak tiga rasa dalam penceritaannya. Namun begitu, dapat aku katakan bahawa sebaik sahaja hidangan utama diletakkan di atas meja, tus air liur jadinya. Inilah tindak balas normal seorang manusia tulen ke atas makanan yang membangkitkan nafsunya. Nafsu makan semestinya.


Dengan tangan kanan yang pura-pura tidak kenal erti kepanasan, aku merasmikan santapan pertama. Isi ikan segar yang 'juicy' berdampingan sos tiga rasa bagaikan melakukan eksplorasi ulung bermula dari pintu gua mulut hingga ke dalam perut. Segala rasa yang enak dan selayaknya muncul menyapa si pengunjung gua. Kepada tuhan ucapan syukur diutuskan atas anugerah lidah yang mampu menterjemahkan setiap kod rasa yang terkandung dalam hidangan malam bulan purnama terang itu.


Malam yang dingin seakan tidak mampu melenyapkan kehangatan badan yang terbit hasil ransangan berterusan ke atas deria rasa sendiri. Jika ini pertandingan realiti dan manik-manik peluh yang turun adalah undian, maka juara tentunya milik siakap tiga rasa ini. Mujurlah jus tembikai dan jus oren yang dipesan membantu menenangkan rasa keghairahan yang dialami dalam diri.


Bagaikan jauhari mengenal manikam, hanya yang telah menjamu selera tahu bagaimana sensasinya. Jika anda telah seharian memuji keindahan dan keunikan alam semulajadi di Kuala Selangor, maka inilah lokasi terbaik untuk menyempurnakan hari anda. Dengan harga berpatutan dan lokasi menawan, Aroma Ikan Bakar syurga makanan.

Tuesday, May 10, 2011

1 bulan

Sudah satu bulan tidak menulis di sini. Adakah tanda tanda sibuk atau penyakit lama berulang kembali? Aku rasa dua dua..huahauhauhaua

Artikel sebelum ini cerita pasal Manchester United ke semi final. Sekarang dah masuk final pun. Menunjukkan berapa lama aku tak tulis apa apa dekat sini.


Tapi memang betul betul sibuk sebenarnya. Dua minggu aku gunakan untuk menulis dalam blog lain. Dua minggu aku gunakan untuk siapkan satu laporan tanpa pertolongan penyelia (yang ada kerja dekat New York. Kalau tak bawa balik buah tangan memang tak tahu nak cakap, penat aku buat kerja dia sekarang).


Ada dua tiga artikel yang sangkut dalam telefon tangan/bimbit. Artikel yang ditaip semasa menunggu orang, menunggu makanan sampai atau menunggu khutbah jumaat. Artikel yang tidak siap yang kalau dihabiskan sekarang mungkin sudah tidak relevan.


Okey, selepas sebulan berehat, aku akan kembali. Dan pastinya satu artikel tentang Manchester United menjadi juara dalam EPL yang akan penuh dengan unsur unsur berlagak.


Nantikan. Ujar aku pada diri sendiri.