Oleh itu, berangkatlah aku ke daerah yang pernah menjadi kota diraja lama Selangor itu. Dikelilingi suasana kampung dan keunikan semulajadi seperti habitat kelip kelip, Kuala Selangor pasti menjadi antara tumpuan pelancong. Itu yang dapat aku simpulkan usai sampai dan melihat kelibat pelancong memenuhi meja makan di Aroma Ikan Bakar hujung minggu lepas.
Peraturan dunia, bila pelanggan ramai haruslah servisnya sedikit lambat dan kurang mesra pelanggan. Itu semua sudah aku faktorkan maka tidaklah aku merungut semasa menunggu makanan.
Duduk berlatarkan kanvas malam, aku dan pasangan memilih sotong celup tepung dan kerang rebus sebagai pembuka selera sementara menanti hidangan utama, ikan siakap tiga rasa bersama nasi putih. Cukup untuk dua orang makan, tak lebih tak kurang.
Tak perlu pertikaikan kesegaran ikan bakar di sini kerana lokasinya terletak bersebelahan jeti pendaratan nelayan. Tidak percayakan sesiapa kecuali diri anda? Pilih sendiri pelbagai ikan segar yang disediakan dan berikan kepada jurutimbang sebelum disiang dan dimasak mengikut pilihan hati.
Si Penglipurlara handalan pun belum tentu dapat menghadirkankan rasa ikan siakap segar yang dimasak tiga rasa dalam penceritaannya. Namun begitu, dapat aku katakan bahawa sebaik sahaja hidangan utama diletakkan di atas meja, tus air liur jadinya. Inilah tindak balas normal seorang manusia tulen ke atas makanan yang membangkitkan nafsunya. Nafsu makan semestinya.
Dengan tangan kanan yang pura-pura tidak kenal erti kepanasan, aku merasmikan santapan pertama. Isi ikan segar yang 'juicy' berdampingan sos tiga rasa bagaikan melakukan eksplorasi ulung bermula dari pintu gua mulut hingga ke dalam perut. Segala rasa yang enak dan selayaknya muncul menyapa si pengunjung gua. Kepada tuhan ucapan syukur diutuskan atas anugerah lidah yang mampu menterjemahkan setiap kod rasa yang terkandung dalam hidangan malam bulan purnama terang itu.
Malam yang dingin seakan tidak mampu melenyapkan kehangatan badan yang terbit hasil ransangan berterusan ke atas deria rasa sendiri. Jika ini pertandingan realiti dan manik-manik peluh yang turun adalah undian, maka juara tentunya milik siakap tiga rasa ini. Mujurlah jus tembikai dan jus oren yang dipesan membantu menenangkan rasa keghairahan yang dialami dalam diri.
Bagaikan jauhari mengenal manikam, hanya yang telah menjamu selera tahu bagaimana sensasinya. Jika anda telah seharian memuji keindahan dan keunikan alam semulajadi di Kuala Selangor, maka inilah lokasi terbaik untuk menyempurnakan hari anda. Dengan harga berpatutan dan lokasi menawan, Aroma Ikan Bakar syurga makanan.