Wednesday, June 1, 2011

Adakah bom jangka itu sudah meletup?

Bagai membuka setin cacing. Itu adalah perumpamaan Inggeris yang bermaksud mendedahkan sesuatu masalah yang serius dengan satu aksi. Perumpamaan ini lebih kurang sama dengan perumpamaan kita bagai membuka pekung di dada. Cuma aku rasa perumpamaan kita itu lebih kepada peribadi manakala perumpamaan Inggeris itu lebih bersifat umum.

Lalu apabila 'hashtag' #adindaevans menjadi 'top three worldwide trend' semalam di Twitter, aku terus teringatkan perumpamaan ini. Tidak syak lagi satu aksi yang dilakukan seseorang (ada seorang blogger terkenal kata dia yang letak link dekat 'fanpage' dia) telah mewujudkan aksi berantai dan mendedahkan masalah keruntuhan akhlak yang serius di dalam masyarakat kita.

Setiap perkara ada baik dan buruknya. Perkara baik yang mungkin berlaku adalah kesedaran masyarakat dengan keadaan kita sekarang. Selama ini kita macam berpura pura yang masalah sosial tak teruk macam Amerika. Bahawa kita ini masih berpegang teguh kepada adat ketimuran yang pemalu dan menjaga tata susila. Nah, bila terdedah kepada dunia tentang keburukan kita baru semua terkejut (atau mungkin ramai yang tak terkejut langsung). Baru menteri tiba tiba nak masuk Malaysia Hari Ini untuk bagi komen pagi ini (aku dengar cerita).

Bagi aku, banyak faktor yang sebabkan perkara ini terjadi. Pengaruh rancangan berunsur seks yang tiap tiap hari tayang dalam tv macam Desperate Housewives dan Gossip Girl. Persekitaran. Pengaruh rakan sebaya. Laman laman lucah. Orang tua yang tak peduli siapa yang anaknya bawa masuk dalam bilik dengan alasan nak buat kerja sekolah.

Ada juga orang yang tak ambil peduli. Biasalah benda benda ini. Kenapa kita sibuk, vagina dia bukan vagina engkau. Masalah rasuah lebih penting daripada masalah siapa main dengan siapa. Orang yang tak pernah main saja yang sibuk dengan orang yang dah main ini. Kau cemburu yer sebab dia umur empat belas tahun dah pandai main tapi kau masih dara/teruna lagi walaupun dah suku abad dalam dunia ini. Dan macam macam lagi.

Okay, orang orang ini memang pandai berhujah. Kalau kail panjang senjengkal memang kalah kalau nak berbahas dengan dia orang. Oleh itu malas aku nak cakap dengan orang orang macam ini. Yang penting aku percaya bahawa dengan aku tak bersetuju dengan tindakan budak itu dan gejala sosial yang berlaku, walaupun hanya dalam hati, aku masih dapat menyelamatkan sedikit iman nipis yang aku ada.

Perkara buruk pula kita boleh tengok sendiri dalam ruangan komen blog budak itu. Orang kita lebih suka mengutuk, mengeji dan mencerca daripada membimbing. Nak buat macam mana, mengutuk yang mengambil masa seminit dua memang berkali ganda lebih senang daripada membimbing yang mungkin makan masa bertahun. Dia orang ini tak fikir ker kesan kutukan dia orang ke atas budak umur empat belas tahun. Boleh tekanan perasaan jadinya.

Kepada si pembuka pembuka tin cacing, aku tak kata yang tindakan kau salah. Cuma aku harap yang kau dah mempertimbangkan bahawa akan berlakunya reaksi reaksi negatif orang ramai ke atas budak itu apabila para peminat dan pembaca kau menerjah blog budak itu. Mungkin kau berasa kesal kerana dalam artikel terbaru kau nasihatkan pengikut kau supaya tidak meneruskan kutukan ke atas budak itu. Tapi bagi aku, bom jangka itu sudah meletup dan pasti ada korbannya.

Dalam banyak banyak tweet yang aku baca semalam, aku terbaca satu tweet menarik. Katanya, "mungkin Allah sengaja buat kita tahu semua ini supaya kita dapat memperbaiki kesilapan yang telah kita lakukan". Aku harap dengan terbukanya tin cacing dan meletupnya bom jangka, kerajaan, guru guru, ibu bapa dan semua dewasa akan bertindak. Janganlah masa depan anak anak kita tergadai hendaknya.

Kepada adindaevans, kau mungkin budak yang masih naif namun terkena impak yang paling maksima dalam hal ini. Namun aku harap pengorbanan kau ini akan membawa satu reformasi akhlak di dalam Malaysia, yang walaupun tidak setanding namun sebagaimana reformasi yang dibawa ke Mesir melalui pengorbanan Mohamed Bouazizi.

Namun mengenali Malaysia, mungkin harapan aku ini hanya harapan kosong.

Tuesday, May 31, 2011

Ulasan bosan penutup musim

Pada mulanya memang semangat berkobar kobar nak buat satu post pasal kemenangan Manchester United dalam Liga Perdana England kali ke sembilan belas. Untuk yang tak tahu, kemenangan kali ini signifikannya lebih sikit. Sebabnya Liverpool baru menang lapan belas kali jadi bila menang sembilan belas kali, maknanya Man Utd dah menang lebih sekali dari Liverpool. Ah, budak budak pun tahu kira matematik semudah ini!

Tapi lepas itu aku pikir bagus juga kalau digabungkan sekali dengan kemenangan Man Utd kali ketiga dalam Piala Juara Juara. Masa itu memang yakin habis yang Man Utd boleh menang. Walaupun 'underdog' tapi main kat Wembley. Tanah air sendiri tu. Mesti semangat nak menang berkobar kobar kan?

Tapi aku silap. Ya, aku silap di situ. Yang main hari itu, hanya empat orang yang boleh mengaku England sebagai negara mereka. Rio Ferdinand, Michael Carrick, Wayne Rooney dan Paul Scholes. Macam mana nak ada semangat tanah air kan.

Satu lagi silap aku ialah tak pernah tengok Barcelona main musim ini. Ya, tak pernah langsung. Sebab itu tak tahu yang Barcelona ini melampau hebatnya sekarang. Dulu pun melampau juga.

Man Utd memang diayam ayamkan pagi Ahad lepas. Banyak faktor kekalahan yang malas aku nak ulas. Aku rasa corak permainan memang yang macam selalu Man Utd amalkan tapi bahagian serangan seolah terputus bekalan dari bawah apabila bahagian tengah tak berupaya nak bermain dengan Xavi dan Iniesta. Dan apabila melihat SAF terduduk di bangku dengan kaki bersilang dan merenung kosong, aku rasa masa itu pun dia dah terima hakikat yang skuad dia tak mampu melawan skuad Barcelona pada masa kini.

Jadi, sekarang nak buat post riak pasal Man Utd menang liga pun dah tak berapa nak semangat..huahuahaua. Tapi yang lawaknya, ada pula orang yang kutuk lebih lebih atas kekalahan Man Utd dalam Piala Juara Juara. Faktanya di sini, Man Utd juara England dan pasukan kedua terhebat di Eropah untuk musim ini. Tak lebih tak kurang. Itu satu pencapaian hebat yang harus dibanggakan.

Masa rehat hampir tiga bulan ini pastinya digunakan untuk mempersiapkan pasukan selepas kehilangan Van Der Sar dan Paul Scholes akibat persaraan. Berbatov pun dengar kata nak berambus. Aku rasa, bahagian tengah yang paling penting pada masa ini. Satu pemain yang berpengalaman diperlukan untuk mengawal tengah dan membimbing pemain pemain muda. Bukan senang nak jadi 'anchor' dalam pasukan hebat macam ini.

Apapun, bagi aku musim ini menghiburkan. Aku harap musim depan pun begitu. Dengan wajah wajah baru dan pemain pemain muda macam Rafael, Fabio, dan Smalling lebih kerap bermain. Oh ya, dan jual pemain pemain yang tidak menyerlah.

Sementara itu, kita layan dahulu gambar ini sebagai penaik semangat.

Monday, May 30, 2011

Selangorlicious - Pengalaman Bertarung dengan Siakap Tiga Rasa


Mencari ikan bakar tidaklah sukar di Selangor. Kalau di'google' dalam internet akan lokasi ikan bakar, antara yang popular pastinya di Jeram, Kuala Selangor. Namun begitu, walaupun populariti selalunya hadir atas pengiktirafan orang ramai, tidaklah aku percaya sebelum mencuba sendiri kerana bagi aku sedap itu subjektif untuk setiap individu. Bak kata peribahasa yang aku cipta sendiri, lidah sama merah, rasa lain-lain.


Oleh itu, berangkatlah aku ke daerah yang pernah menjadi kota diraja lama Selangor itu. Dikelilingi suasana kampung dan keunikan semulajadi seperti habitat kelip kelip, Kuala Selangor pasti menjadi antara tumpuan pelancong. Itu yang dapat aku simpulkan usai sampai dan melihat kelibat pelancong memenuhi meja makan di Aroma Ikan Bakar hujung minggu lepas.


Peraturan dunia, bila pelanggan ramai haruslah servisnya sedikit lambat dan kurang mesra pelanggan. Itu semua sudah aku faktorkan maka tidaklah aku merungut semasa menunggu makanan.
Duduk berlatarkan kanvas malam, aku dan pasangan memilih sotong celup tepung dan kerang rebus sebagai pembuka selera sementara menanti hidangan utama, ikan siakap tiga rasa bersama nasi putih. Cukup untuk dua orang makan, tak lebih tak kurang.


Tak perlu pertikaikan kesegaran ikan bakar di sini kerana lokasinya terletak bersebelahan jeti pendaratan nelayan. Tidak percayakan sesiapa kecuali diri anda? Pilih sendiri pelbagai ikan segar yang disediakan dan berikan kepada jurutimbang sebelum disiang dan dimasak mengikut pilihan hati.


Si Penglipurlara handalan pun belum tentu dapat menghadirkankan rasa ikan siakap segar yang dimasak tiga rasa dalam penceritaannya. Namun begitu, dapat aku katakan bahawa sebaik sahaja hidangan utama diletakkan di atas meja, tus air liur jadinya. Inilah tindak balas normal seorang manusia tulen ke atas makanan yang membangkitkan nafsunya. Nafsu makan semestinya.


Dengan tangan kanan yang pura-pura tidak kenal erti kepanasan, aku merasmikan santapan pertama. Isi ikan segar yang 'juicy' berdampingan sos tiga rasa bagaikan melakukan eksplorasi ulung bermula dari pintu gua mulut hingga ke dalam perut. Segala rasa yang enak dan selayaknya muncul menyapa si pengunjung gua. Kepada tuhan ucapan syukur diutuskan atas anugerah lidah yang mampu menterjemahkan setiap kod rasa yang terkandung dalam hidangan malam bulan purnama terang itu.


Malam yang dingin seakan tidak mampu melenyapkan kehangatan badan yang terbit hasil ransangan berterusan ke atas deria rasa sendiri. Jika ini pertandingan realiti dan manik-manik peluh yang turun adalah undian, maka juara tentunya milik siakap tiga rasa ini. Mujurlah jus tembikai dan jus oren yang dipesan membantu menenangkan rasa keghairahan yang dialami dalam diri.


Bagaikan jauhari mengenal manikam, hanya yang telah menjamu selera tahu bagaimana sensasinya. Jika anda telah seharian memuji keindahan dan keunikan alam semulajadi di Kuala Selangor, maka inilah lokasi terbaik untuk menyempurnakan hari anda. Dengan harga berpatutan dan lokasi menawan, Aroma Ikan Bakar syurga makanan.

Tuesday, May 10, 2011

1 bulan

Sudah satu bulan tidak menulis di sini. Adakah tanda tanda sibuk atau penyakit lama berulang kembali? Aku rasa dua dua..huahauhauhaua

Artikel sebelum ini cerita pasal Manchester United ke semi final. Sekarang dah masuk final pun. Menunjukkan berapa lama aku tak tulis apa apa dekat sini.


Tapi memang betul betul sibuk sebenarnya. Dua minggu aku gunakan untuk menulis dalam blog lain. Dua minggu aku gunakan untuk siapkan satu laporan tanpa pertolongan penyelia (yang ada kerja dekat New York. Kalau tak bawa balik buah tangan memang tak tahu nak cakap, penat aku buat kerja dia sekarang).


Ada dua tiga artikel yang sangkut dalam telefon tangan/bimbit. Artikel yang ditaip semasa menunggu orang, menunggu makanan sampai atau menunggu khutbah jumaat. Artikel yang tidak siap yang kalau dihabiskan sekarang mungkin sudah tidak relevan.


Okey, selepas sebulan berehat, aku akan kembali. Dan pastinya satu artikel tentang Manchester United menjadi juara dalam EPL yang akan penuh dengan unsur unsur berlagak.


Nantikan. Ujar aku pada diri sendiri.

Tuesday, April 12, 2011

Manchester United ke Semi Final

Dalam setahun dua ini memang aku tak pernah begitu yakin yang Man Utd akan menang melawan Chelsea walaupun di Old Trafford. Bagiku, Chelsea dan Man Utd adalah setanding dari semua segi. Hanya pasukan yang benar benar kental dan bersemangat semasa hari pertandingan sahaja yang akan muncul sebagai pemenang.

Namun, untuk perlawanan kedua Champions League suku akhir pagi tadi, memang aku tersangat yakin dengan kemenangan Man Utd. Sedikit pun aku tidak risau. Malahan aku yakin yang para peminat Man Utd pun akan sependapat dengan aku.

Kenapa? Punca keyakinan aku bukanlah kerana prestasi Man Utd yang menang berturut turut kebelakangan ini. Bagiku, prestasi mereka konsisten iaitu di tahap kemuncak. Namun faktor sebenar keyakinan aku adalah kerana prestasi Chelsea yang merudum. Chelsea kini sudah tidak sehebat dahulu. Singa Aslan sudah hilang taringnya.

Ramai yang melihat faktor Torres yang dibeli dengan harga 50 juta pound sterling sebagai puncanya. Bagi aku ini memang benar. Kalau adiwira yang dikatakan hebat tidak dapat menjaringkan gol selepas 11 perlawanan, kesannya mesti terpalit pada rakan sepasukan. Rakan sepasukan pun mesti teragak agak untuk menghantar bola kepadanya, sekaligus merencatkan taktikal pasukan.

Ramai orang kata Torres dibeli oleh Abramovich dan bukan Ancelotti. Torres tidak sesuai dalam corak permainan Chelsea. Dan ternampak benarnya apabila Ancelotti menukarkan Torres semasa rehat separuh masa. Namun pasukan sehebat Chelsea tidak patut menjadikan Torres sebagai kambing hitam kerana bola sepak dimainkan sebelas orang. Bukan Torres seorang.

Apapun, kekalahan Chelsea menandakan juara bertahan EPL ini gagal membawa pulang sebarang trofi musim ini. Bagiku, zaman emas Chelsea hampir berlalu. Tiga orang tonggak Chelsea, Terry, Drogba dan Lampard sudah berusia. Ancelotti sekiranya dikekalkan mungkin mampu membentuk semula pasukan ini dan dapat menggunakan Torres dengan sewajarnya. Ah, itu cerita musim panas. Itupun, kalau Abramovich masih belum bosan menunggu Chelsea mendapatkan trofi yang paling dihajatinya.

Jadi begitulah. Kemenangan Man Utd lebih kepada kerana kelemahan Chelsea. Kalau tidak, tiada sebab Chelsea tidak berjaya menjaringkan gol semasa di Stamford Bridge minggu lepas. Perlawanan menentang Schalke 04 (hampir pasti) aku jangka tidak mudah. Mereka ini (bakal) mengalahkan Inter Milan iaitu juara bertahan. Jadi aku akan menantikan perlawanan ini dengan penuh debaran.

Macam mana cerita ini lebih kepada cerita mengenai Chelsea..huahuahuahuahua

Glory Glory Man Utd. 
We're the famous Man United and we're going to Wembley!

Monday, April 11, 2011

Catatan dari cebisan sejarah

Aku mulakan satu projek baru semalam. Satu projek mengumpul dan mencatat sejarah sesebuah organisasi. Bukanlah sejarah besar sangat pun dan tak adalah lama sangat pun. Cuma sekitar September 2009 hingga sekarang. Tapi selalunya kalau nak buat apa pun mesti mula dengan benda kecil dulu bukan.

Walaupun aku sebahagian daripada catatan sejarah itu tapi aku tidak mula dari awal. Aku hanya jadi sebahagian daripadanya bermula Januari 2010. Walaupun aku tahu sedikit sebanyak tentang apa yang berlaku tapi sebahagiannya tidaklah aku ketahui secara terperinci. Ini salah satu cabaran sebenarnya. Untuk mengumpul kembali cebisan cebisan memori dan bukti daripada individu individu yang terlibat. Susah, lambat dan mungkin tidak mendapat kerjasama yang sewajarnya.

Aku tidak bermaksud mencatat sejarah dari kaca mata seorang pemenang. Aku mahu catat sejarah yang benar benar berlaku. Sejarah yang ada baik dan buruknya. Sejarah yang tidak selalunya indah. Namun tidak pula aku mahu membuka pekung di dada mana mana individu. Yang berlalu biarlah berlalu. Yang salah sudah meminta maaf. Apa yang penting adalah pengajaran daripada peristiwa yang berlaku.

Tujuan aku menulis sejarah ini antaranya untuk memberitahu generasi baru organisasi tentang pengalaman pengalaman yang telah dilalui organisasi sepanjang setahun setengah penubuhannya. Tentang jatuh bangunnya. Tentang kekalahan dan kemenangannya. Supaya menjadi iktibar dan kebanggaan yang berterusan.

Semoga catatan sejarah ini akan siap akhirnya.

Sunday, April 10, 2011

Harap harap bukan sindiket

Tengah tengah panas, aku berjalan di atas jejambat yang menghubungkan stesen komuter Bank Negara di Bukit Tunku dengan Jalan Raja Laut. Walaupun di bawah bumbung, masih terasa bahangnya.

Menghampiri hujung jejambat, kelihatan seorang wanita duduk memangku sambil menetek seorang budak kecil. Ya, aku tak nampak teteknya dan aku tak berhajat untuk nampak pun. Aku seluk kocek belah kanan, terasa kertas. Aku pasti itu baki duit makan aku sebanyak RM4. Dalam bentuk empat keping RM1. Berpuas hati, aku berlalu pergi.

Sesudah menyiapkan urusan aku di Maybank Jalan Raja Laut, aku kembali menuju ke arah jejambat. Kelihatan wanita itu masih memangku seorang budak kecil. Aku capai sekeping RM1 yang sudah aku asing dan berjalan menuju ke arahnya. Hampir saja aku dengannya, aku lihat dia mengeluarkan sehelai kain. Dengan kain itu, dia mengibas muka budak kecil itu.

"Celaka," desis aku dalam hati. Aku seluk kocek belah kanan, terasa kertas. Aku genggam dan keluarkan semuanya. Lalu aku masukkan dalam bekas yang berada di hadapan mereka.

Harap harap bukan sindiket.