Aku mulakan satu projek baru semalam. Satu projek mengumpul dan mencatat sejarah sesebuah organisasi. Bukanlah sejarah besar sangat pun dan tak adalah lama sangat pun. Cuma sekitar September 2009 hingga sekarang. Tapi selalunya kalau nak buat apa pun mesti mula dengan benda kecil dulu bukan.
Walaupun aku sebahagian daripada catatan sejarah itu tapi aku tidak mula dari awal. Aku hanya jadi sebahagian daripadanya bermula Januari 2010. Walaupun aku tahu sedikit sebanyak tentang apa yang berlaku tapi sebahagiannya tidaklah aku ketahui secara terperinci. Ini salah satu cabaran sebenarnya. Untuk mengumpul kembali cebisan cebisan memori dan bukti daripada individu individu yang terlibat. Susah, lambat dan mungkin tidak mendapat kerjasama yang sewajarnya.
Aku tidak bermaksud mencatat sejarah dari kaca mata seorang pemenang. Aku mahu catat sejarah yang benar benar berlaku. Sejarah yang ada baik dan buruknya. Sejarah yang tidak selalunya indah. Namun tidak pula aku mahu membuka pekung di dada mana mana individu. Yang berlalu biarlah berlalu. Yang salah sudah meminta maaf. Apa yang penting adalah pengajaran daripada peristiwa yang berlaku.
Tujuan aku menulis sejarah ini antaranya untuk memberitahu generasi baru organisasi tentang pengalaman pengalaman yang telah dilalui organisasi sepanjang setahun setengah penubuhannya. Tentang jatuh bangunnya. Tentang kekalahan dan kemenangannya. Supaya menjadi iktibar dan kebanggaan yang berterusan.
Semoga catatan sejarah ini akan siap akhirnya.