Semalam ada seorang kawan aku yang sedih dan stress. Puncanya sebab dia rasa susah bahagi masa antara kerja dengan pelajaran sarjananya secara part time. Benda benda macam ini memang biasa bagi orang yang baru nak berjinak dalam bidang belajar secara part time ini.
Aku pun belajar secara part time sambil bekerja. Disebabkan dah lama menceburi bidang ini, aku rasa aku faham masalah dia. Dan sebab dia kawan aku maka aku rasa bertanggungjawab untuk memberi nasihat yang aku harap dapat menenangkan hati dia. Okey, aku berjaya menasihatkan dia. Biasalah, cakap kosong kan mudah.
Walhal selepas aku nasihat dia lebih kurang, aku rasa aku patut nasihat diri aku sendiri. Perasaan belajar itu sebenarnya aku rasa dah hilang dari hidup aku. Aku dah tak bersemangat macam masa mula mula aku belajar dulu.
Dah tiga tahun aku belajar. Daripada lima subjek yang aku sepatutnya lepas, aku baru lepas dua. Subjek yang ketiga aku dah ambil empat kali dan subjek yang keempat sekali. Gagal berulang kali. Dan dah beribu habis untuk aku bayar yuran tahunan dan yuran periksa dalam Pound Sterling. Memang Pound tengah jatuh sekarang tapi puak kapitalis itu lagi pandai, dinaikkan yuran itu setiap semester. Dan aku terperangkap untuk membayar dan terus membayar.
Okey, part bayar itu aku tak kisah sangat. Sebabnya, kalau aku dah dapat kelulusan yang aku cari, perlahan lahan aku dapat pulangan yang melebihi apa aku modalkan. Ini kira pelaburan bagi aku. Tapi yang aku kisah sekarang adalah sebab sebab kenapa aku gagal berulang kali.
Aku rasa api semangat untuk belajar tu dah terpadam. Kalau dulu aku pergi kelas, walaupun tak dengar sangat apa yang pensyarah ajar, sekurang kurangnya dapat juga bawa balik ilmu sikit sikit. Dan dulu ada juga ujian ujian yang perlu aku buat. Tapi sekarang ini, aku lebih kepada belajar sendiri. Walaupun aku pergi kelas tapi aku tak pasti apa yang aku dapat. Minda lebih ke lain dan percaya atau tidak, dalam dua tiga hari nak periksa sebenar baru aku mula bekerja keras untuk belajar bersungguh sungguh.
Aku memang susah nak belajar seorang, malas bukan main. Satu lagi aku macam dah terlupa kepentingan belajar. Bagi aku, belajar ini hanya satu bonus sebab aku dah kerja sekarang. Kiranya, masa depan aku dah terjamin. Jadi belajar ini boleh buat main main. Aku rasa ini antara sebab kenapa kini aku gagal berulang kali.
Bila aku bandingkan aku dengan kawan aku, banyak bezanya. Dia ada tiga kelas malam seminggu manakala aku hanya ada satu dan kadang kadang di hujung minggu. Buat yang tak biasa, kelas malam selepas kerja lapan jam memang sangat memenatkan, mengantuk dan tak akan dapat menumpukan perhatian dalam kelas.
Dia ada macam macam tugasan nak kena buat. Ala, peringkat sarjana memang kena buat macam macam kajian kan. Aku mana ada semua itu. Malahan aku sengaja ambil kelas yang tak perlu buat tugasan dan ujian untuk kesenangan hidup aku. Dia ambil serius tentang pembelajaran dia tapi aku buat rilek saja. Dia berhenti main game untuk sambung belajar tapi aku tidak.
Jadinya, aku layak ker nak nasihat dia? Aku rasa tak layak langsung. Aku rasa baik aku nasihat diri aku sendiri. Dan aku rasa bila aku pergi kelas malam ini baik aku tumpukan perhatian semampu yang boleh. Jangan hanya pandai tulis saja.
Buat kawan aku, aku yakin yang kau akan berjaya. Walaupun kadang kadang kita rasa putus asa dan nak berhenti tetapi bertahanlah. Cakap memang senang tapi cubalah dulu. Cuba tengok aku, tidak berputus asa walaupun gagal berulang kali. Hey, aku baru saja dapat tahu satu kelebihan aku..huahuahahua
Izinkan aku berikan satu nasihat lagi walaupun aku tahu aku tak layak. Kalau boleh jangan pendamkan perasaan seorang diri. Cari keluarga mahupun kawan untuk berkongsi masalah. Kalau pendam pendam sangat nanti boleh membawa kepada kemurungan.
Aku akan mencontohi semangat kau untuk perjuanganku sendiri. Takkan selamanya aku nak tersangkut kan. Sesungguhnya dengan menasihati kau umpama menasihatiku sendiri. Terima kasih kawan.