Semalam aku sampai rumah dalam pukul sebelas malam. Dari jauh aku nampak rumah aku gelap. Normal. Sampai dekat dengar bunyi bising. Tidak normal. Sampai depan pintu dengar bunyi air mengalir. Gampang.
Imbas balik, rumah aku tak ada air masa aku pergi kerja waktu pagi. Sah aku terlupa nak tutup pili air lepas aku buka tengok ada air ker tak ada. Elok jer aku masuk rumah aku tutup pili air dekat dapur dan buka lampu. Ruang tamu dah penuh air dan bilik aku ada masuk sikit. Lagi dua bilik tak terjejas. Syukur sebab tak ada litar pintas.
Lepas salin baju kerja kepada sehelai seluar pendek aku tengok keliling. Hajat nak mandi lepas itu makan burger (aku tak sempat makan malam) dan terus tidur hilang terus. Sambil makan burger aku tengok keliling fikir nak mula dari mana. Burger dah tak rasa macam burger masa itu.
Aku mulakan dengan mengangkat buku buku yang dah basah kuyup atas lantai. Ada buku pelajaran dan ada buku komik. Komik pula komik 'rare' Jengking Merah yang pernah keluar dalam Mingguan Misteri tahun 1996 sampai tahun 1999 rasanya. Disebabkan terlalu 'rare', komik itu tak pernah keluar habis dekat Malaysia atau diulang cetak sepanjang pengetahuan aku. 5 jilid komik Jengking Merah (1-5) basah dan aku tak tahu macam mana nak bagi kering. Jadi aku kumpulkan mana mana buku yang basah dan letak dalam satu bilik yang tak terjejas sambil pasang kipas angin.
Lepas habis angkat buku dan komik baru aku terfikir pasal barang elektrik. Jadi aku angkat barang barang macam modem, periuk nasi, penjerang air dan seterika ke tempat kering. Rumah bujang bukan banyak sangat barang pun.
Kemudian aku angkat toto, bantal, sejadah, tuala dan tikar yang basah atas lantai ruang tamu dan jemur di beranda. Sambil sambil aku masukkan barang barang yang aku rasa tak dapat diselamatkan dah dalam plastik hitam. Antaranya kotak, suratkhabar dan kuih raya dua tahun lepas. Akhirnya ruang tamu dah jadi lapang untuk aku sapu air dan lap lantai.
Aku mulakan dengan mengemop bilik aku. Dapat juga dalam setengah baldi air. Selepas aku berpuas hati dengan tahap kelembapan bilik, aku bergerak ke ruang tamu. Ruang tamu lebih kronik jadi aku pakai penyapu dan sapu air keluar ke beranda bersama segala kotoran yang entah dari mana muncul. Mana mana kawasan yang jauh dari beranda takkan aku nak main tolak tolak air pula kan. Jadi aku menyapu air ke dalam penyodok dan seterusnya ke dalam baldi. Adalah dalam satu setengah baldi dapat. Jumlah kalau dicampur dengan air dalam bilik aku dan air yang aku tolak keluar, ada dalam 3 baldi juga dapat. Yang dah masuk dalam lubang lagi. Agak agaknya berapalah bil air aku bulan ini.
Okey, proses kat atas nampak senang kan. Tapi aku siap semua itu dalam pukul 2. Walaupun tahap kelembapan tidak memuaskan hati, aku dah tak larat nak sapu air. Sekurang kurangnya tak adalah sampai air bertakung. Kaki dan tangan aku pun dah kembang rasanya. Sambil aku terbaring di atas tilam menunggu mata nak pejam aku terfikir, kalau dah nak jadi, apartment tingkat 20+ pun boleh kena banjir..huahuahuahua