Friday, March 11, 2011

Api di dalam air


Banyak perkara yang menarik perhatian aku selepas melihat gambar dan video serta membaca berita dan komen mengenai bencana gempa bumi 8.9 dan tsunami di Jepun. Antaranya:

i. Sebagai gempa bumi yang berukuran 8.9 Mw (moment magnitude), gempa bumi ini yang ketujuh terburuk di dunia dan terburuk di Jepun sejak mereka mula merekodkan data. Gempa bumi ini juga digelar 'megathrust earthquake' sebab kuat sangat. Menariknya, baru aku tahu yang skala Richter dah diganti skala Moment Magnitude ini untuk lebih ketepatan. Kalau convert ke skala Richter, aku rasa gempa bumi ini dalam 8.5 ke 8.8 juga rasanya.

ii. Nampaknya Jepun dapat melakukan kerja kerja penyelamatan dengan cepat. Setakat ini antara 400 ke 1000 mangsa yang dilaporkan terkorban dan hilang. Manakala dalam 2000 bangunan yang hancur. Kalau dibandingkan dengan gempa bumi di Haiti tahun 2010 yang berukuran 7.0 Mw, antara 200,000 ke 250,000 terkorban. Rasanya pengalaman, teknologi dan kemajuan yang menyebabkan kemalangan dan kerosakan dapat dikurangkan.

iii. Teknologi juga menyebabkan kita dapat mengagak dengan lebih awal yang tsunami akan melanda. Malahan tsunami di Jepun dapat disaksikan secara langsung di seluruh dunia. Kalau dibandingkan dengan teknologi di Aceh tahun 2004, kita yang duduk sebelah Indonesia pun terlambat dapat tahu pasal tsunami di Aceh ketika itu. Sekarang ini dengan facebook, twitter dan macam macam lagi, semua berita pun cepat tersebar.

iv. Dalam waktu yang sama dengan kejadian, fenomena 'Supermoon' sedang berlaku yang menyebabkan ada pihak yang mengaitkan fenomena ini dengan malapetaka yang berlaku. Supermoon adalah fenomena di mana bulan berada di dalam posisi paling hampir dengan bumi dan berlaku 18 tahun sekali.

v. Dalam membaca, ternampak juga ada pihak berkata yang Jepun kena gempa bumi disebabkan dah teruk gejala sosial dekat sana. Macam macam yang dia orang dah buat. Industri porno pun berlambak lambak sampai benda yang tak pernah terfikir pun dibuat atas dasar 'fetish'. Malahan siapa yang tak kenal Maria Ozawa kan. Tapi bagi aku, hukuman ker dugaan ker itu hak mutlak Allah SWT. Kita sebagai manusia tak perlulah nak menghukum siapa siapa. Yang penting kita perbaiki diri sendiri dan kalau terasa nak tolong mereka yang dalam kesusahan, tolong saja lah tanpa perlu banyak bunyi.

Semoga kemalangan jiwa dan harta benda dapat dikawal dan dikurangkan di Jepun. Dari saya di Malaysia.

Nota kaki: rakaman bangunan bergoyang tapi tak runtuh dan pekerja yang tekun menghadap komputer walaupun semasa bangunan bergoyang mengingatkan betapa mereka ini begitu disiplin dan komited dalam kerja.