Matlamat aku masa mula mula masuk gym satu tahun yang lalu bukanlah tinggi mana. Tak teringin pun badan macam arnold atau perut petak macam rambo. Ala, aku pun tahu nak dapat badan macam itu bukan takat masuk gym jer, nak kena makan telur ayam mentah macam hantu, minum susu protein lagi dan silap silap kena injek steroid. Menyusahkan saja.
Matlamat aku cuma ada tiga, nak sihatkan tubuh badan, nak naikkan stamina dan nak kempiskan perut macam zaman belajar dulu. Pelik juga aku, kenapa perut cepat naik bila dah kerja. Nak kata makan duit haram atau 'minum' tak ada pula. Kadang kadang curi tulang itu ada tapi selalunya aku ganti balik hujung tahun.
Sekarang ini aku rasa dua daripada tiga matlamat dah nampak hasil walaupun belum tercapai. Masalahnya sekarang matlamat ketiga iaitu mengempiskan perut. Susah betul sebenarnya matlamat ini. Kempis perut tu kira peringkat 'beginner' tapi dah cukup susah rasanya. Ini belum tahap nak dapat 'six pack' yang dalam legenda tu.
Tapi daripada pemerhatian aku, bukan aku seorang saja yang alami masalah ini. Ada seorang brader ini aku tengok lengan dah sama besar dengan paha aku, berketul ketul. Bukan paha aku tapi lengan beliau. Brader ini memang rajin dalam mengangkat segala besi dalam bilik gym itu. Usahanya memang nampak pada tangan dan kaki tapi perut? ’Fail’.
Kata orang berenang adalah senaman yang paling bagus. Sebabnya dengan berenang, semua otot dalam badan digunakan dan pembakaran kalori dan lemak yang sekata. Memang menarik dan membuatkan aku terasa macam nak mencuba. Tambah pula bila ada pool tepi gym tersebut. Tapi melihatkan seorang brader ini, aku jadi was was. Kaki dengan tangan memang dah gaya atlit tapi tengok perut, ‘fail’.
Buku buku ‘fitness’ pun macam tak berapa boleh percaya. Dapat six packs dalam masa enam minggu konon kononnya. Tapi guna model yang memang dah sedia badan sedap buat apa. Cuba pakai model yang sedia boroi dan tunjuk hasilnya lepas enam minggu. Barulah orang kebanyakan percaya yer tak.
Kesimpulannya, jagalah pemakanan sebelum perut anda naik. Bukan untuk siapa siapa tapi untuk kesihatan anda juga. Dan supaya nampak macho dan bergaya..huahuahuahua
Nota kaki: Ada satu brader tu, lari atas treadmill sambil hentak hentak kaki. Lepas itu pergi try semua equipment yang ada dalam gym. Peh..memang taraf beginner.