Saturday, March 26, 2011

Siri cerpen merapu mingguan 3: Sema'on salah orang

Hari: Sabtu (hari kebiasaan untuk berdating).
Cuaca: Sepoi-sepoi bahasa yang sejuk mata memandang.
Lokasi: Rahsia tapi tahu juga akhirnya.

Sema'on sampai di tempat yang dijanjikan tepat pukul 12 tengah hari. Tergesa-gesa juga dia tadi sampai berpeluh-peluh satu badan. Namun Sema'on tak kisah kerana kewangian badannya dijamin one drop perfume. "Cuma setitik, wangi sepanjang masa," begitulah kata-kata Rozita Che Wan, artis popular dari dalam tv yang mendorong pembeliannya tempoh hari.

"Tak sia-sia aku beli perfume ni sampai sekotak," Sema'on bersuara antara dengar dan tidak. Pada mulanya dia berasa rugi kerana terpaksa membeli sampai 4 botol yang dipek sekotak. Alasan mak cik tuan punya kedai minyak wangi kecil-kecilan itu, susah nak jual sebotol-sebotol. "Kurang mendapat sambutan," tambah mak cik itu lagi sambil tersenyum sinis.

Sema'on memandang sekeliling. Jauh pemandangan luas pengalaman bak kata sesetengah cikgu. Kompleks membeli-belah ini memang super besarnya. Tak hairanlah kalau tempat ini dinamakan supermarket. Namun tuan punya tempat ini tak berkenan dengan nama supermarket. tak berjiwa Malaysia katanya. Lantas dinamakan Menara Wak Asan sempena namanya.

Menara Wak Asan memang unik dan yang pertama seumpamanya di Malaysia. Mengikut pelan asal, Kompleks membeli-belah, pejabat dan tapak funfair ini dijadualkan dibina setinggi 100 tingkat. Namun atas sebab bantahan keras segelintir rakyat Malaysia di dalam sebuah grup fesbuk 'Kami Membantah Menara Wak Asan Kerana Namanya Tak Sedap', rancangan asal dipinda. Wak Asan, seorang tokoh konglomerat terkenal menggelengkan kepalanya kecewa. Atas dasar merajuk, beliau mengambil keputusan mendirikan bangunan setingkat yang luasnya 100 kilometer persegi. Namun nama Menara Wak Asan dikekalkan. Ada nilai sentimental katanya. Entah betul entah tidak.

"Hello, awak ni encik Sema'on ker?" suara lembut wanita dari belakang mengganggu pembacaannya di papan penerangan sejarah Menara Wak Asan. Dia meneguk air liur. "Masanya sudah tiba," fikirnya.

"Yes, saya Sema'on," balasnya sambil berpaling ke belakang dengan perasaan berdebar-debar. Mukanya dikontrol agar kelihatan lebih kacak dari biasa.

Sebaik terpandang si wanita, Sema'on jadi panik dan gelabah macam ayam berak kapur. Perasaannya dari berdebar-debar jadi termengah-mengah. Dua-tiga kali air liur diteguk tapi masih kering tekaknya. Lidahnya jadi kelu seribu bahasa. Dia hilang punca!

"Aa, baguslah kalau awak ni encik Semaon," sambung si wanita sambil tersenyum. Nampak benar perasaan lega yang terpancar di wajahnya.

"Er..awak ni..awak ni..cik Markonah ker?" akhirnya Sema'on berjaya menyusun huruf-huruf membentuk kata-kata. Dia memandang dari atas ke bawah wanita yang memiliki susuk tubuh saling tak tumpah macam Adibah Nor itu. Lagu 'Pelamin Anganku Musnah' dendangan Azie terngiang-ngiang di telinganya.

"Eh, taklah. Ini saya jumpa dompet dekat atas lantai tadi, Ada mykad encik di dalamnya," balas wanita itu sambil mengunjukkan sebuah dompet kulit cap boye ke arah Sema'on. Terkejut juga Sema'on sambil meraba-raba poket belakangnya. "Bila masa dompet aku jatuh?" getus hati kecilnya.

"Eh..eh..hehe..eh..eh," Sema'on kehilangan kata-kata sekali lagi. Dia berasa betul-betul bersyukur. Namun dia kurang pasti sama ada dia bersyukur kerana dompetnya tak hilang atau kerana wanita itu bukan Markonah.

Sema'on memandang ke depan. Wanita itu telah kembali ke pangkuan familinya, seorang lelaki yang kacak dan ada gaya abah-abah bersama seorang anak kecil yang comel. Anak kecil itu memang comel, fotogenik dan ada nilai komersial. Kalau berlakon iklan pet pet kompem laku.

"Don't judge a book by it's cover," Sema'on bersuara antara dengar dan tidak sambil menggeleng-gelengkan kepala. Sama ada dia faham maksud sebenar peribahasa itu dia sendiri kurang mengerti.