Saturday, March 12, 2011

Siri cerpen merapu mingguan: Sema'on si panas baran

5.00 a.m.

Mata Sema'on terbuka secara otomatik. Dia mengeliat sewenang-wenangnya sejurus bangun dari katil. Mood tidurnya hilang serta-merta. Dalam keadaan yang masih gelap, dia berjalan keluar dari biliknya lalu menuruni tangga. Pergerakannya tangkas bagai orang muda, licik bagai nak skodeng si anak dara.

Itulah rutin harian Sema'on saban hari sejak dari zaman dia bergelar belia. Dia akan terjaga secara otomatik pada pukul 5 pagi setiap hari tanpa bantuan jam loceng mahupun 'alarm henpon'. Rutin hidup demikian tak dapat ditinggalkan biarpun sudah pencen dari 'scene' meniaga ayam. Tapi Sema'on tidak kisah semua itu kerana kini dia ada agenda tersendiri setiap pagi.

Usai solat, Sema'on keluar ke belakang rumah. Di situ ditanamnya sekebun pokok pisang. Dia menghirup udara subuh semahu-mahunya sambil berjalan-jalan ke sekeliling. Pokok-pokok pisang ditanamnya berperingkat-peringkat. Ada yang masih kecil, ada yang sudah remaja, yang sudah berjantung, yang sudah berbuah dan yang hidup segan mati tak mahu. Langkahnya terhenti apabila berhadapan sebatang pokok pisang yang tegap ala-ala Malek Noor di zaman kemuncaknya. Dia mengelilingi pokok tersebut penuh minat.

"Heyyaarghhh!" Dengan satu pekikan, bertubi-tubi tumbukan padu dilepaskan ke arah pokok pisang Malek Noor. Gaya tumbukan yang mengancam itu kalau si Rocky tengok boleh tak tidur malam dibuatnya. Pokok pisang Malek Noor yang bongkak kerana ketegapannya perlahan-lahan menyembah bumi akibat dinodai tangan Sema'on yang gagah perkasa.

Perbuatan Sema'on yang keterlaluan itu mengundang kemarahan dua ekor sahabat karib, si siput babi dan sang katak yang berada berhampiran. Perbincangan mereka yang berkisar tentang masalah ekonomi negara dan pendatang asing tanpa izin telah terganggu. Pokok pisang yang menjadi 'port' dan tempat perteduhan mereka selama ini kini tiada lagi.

Mereka menjeling tajam ke arah Sema'on yang sedang mendabik dada ekoran kejayaannya mengalahkan pokok pisang Malek Noor.

"Apa pandang-pandang, nak kena penendang?" Sema'on menengking dua sahabat karib tersebut sebaik mendapati dirinya ditenung tajam.

"Tak ada apa-apa la brader, permisi dulu," balas mereka serentak sebelum berpisah membawa diri masing-masing. Si siput babi cepat-cepat masuk ke dalam cangkerangnya dan mengunci pintu manakala sang katak menyorok di dalam sebuah tempurung.

"Ceh, dasar binatang," cemuh Sema'on seraya meludah ke langit penuh takbur.