Sunday, March 20, 2011

Bola sepak Malaysia: kelab atau negeri?

Ini hanyalah satu pandangan aku mengenai bola sepak Malaysia. Pandangan ini bersifat peribadi dan mengikut pemahaman sendiri.

Ada seruan supaya pasukan negeri perlu dimansuhkan dari bermain dalam liga bolasepak tempatan dan kelab-kelab bola ditubuhkan seperti Gombak United dengan Petronas sebagai pemegang syer utamanya. Ini sebab FA negeri yang menguruskan pasukan negeri menggunakan duit yang diberi penaja dan FAM untuk menguatkan pasukan masing-masing, bukannya untuk perkembangan bola sepak negeri seperti liga bola sepak negeri dan akademi bola sepak negeri. Betulkan kalau aku salah.

Tak dinafikan dari satu sudut, seruan ini banyak yang betul. FA negeri tidak patut mentadbir pasukan negeri. FA negeri patut memfokuskan pada perkembangan negeri, pada liga bola sepak budak sekolah menengah, sekolah rendah dan tadika. FA negeri patut membangunkan akademi bola sepak negeri supaya anak-anak muda lebih berminat masuk akademi bola sepak dari akademi fantasia, awek-awek cun lebih mengejar keeper johan bola sepak daerah daripada mengejar johan karaoke negara dan makcik-makcik lebih sibuk mempertikaikan kemenangan juara bolasepak negeri berbanding juara lagu!

Namun begitu, aku berpendapat yang pasukan negeri tak patut dibubarkan. Pasukan negeri sepatutnya disyarikatkan, anak-anak watan dapat menjadi pemegang-pemegang syer dengan membeli saham semudah membeli ASB atau sijil simpanan premium. Badan pengurusan yang berdaya saing dan berjiwa business dilantik agar dapat menarik penaja, menjana sumber kewangan berterusan sekaligus membuat keuntungan. Kalau tak untung dan kerugian berterusan, atau kalau manager asyik fikir macam mana nak kalah, peminat-peminat boleh bawa placard ke stadium menyuruh pengurusan berundur dan manager dipecat untuk digantikan dengan lagenda pemain. Kalau nak cepat boleh buat EGM dan undi tak percaya.

Jadi apa bezanya pasukan kelab macam Gombak FC, Gadek United dan Gunosukod Pangaits dengan pasukan Selangor, Melaka dan Sabah. Perbezaan yang paling utama yang menentukan jatuh bangunnya sesebuah pasukan bola sepak dan sumber kewangannya ialah jumlah penyokong. Kalau nak kaji jumlah penyokong sesebuah pasukan, kita kena tengok jumlah kepadatan penduduk kawasan atau daerah pasukan tersebut diasaskan atau menjadi wakil kawasan tersebut.

Untuk membuktikan jumlah kepadatan penduduk menyumbang kepada pasukan yang menjadi wakil pasukan tersebut, aku ambil liga super Indonesia sebagai benchmark. Kalau ada orang tanya kenapa tak ambil EPL, La Liga atau liga-liga yang sekelas dengan kemasyhuran mereka, jawabnya liga-liga itu mempunya penyokong unversal di seluruh dunia. Hatta dari Ceruk Tok Kun sekalipun ada yang menyokong pasukan-pasukan hebat seperti Liverpool, Blackpool dan juga Wolves. Jadi kepadatan penduduk di kawasan tersebut sudah tidak penjadi penentu utama kepada kelansungan hidup pasukan-pasukan tersebut.

Berbalik kepada Liga Super Indonesia (LSI), kalau mengikut www.world-gazetteer.com, 18 kawasan di Indonesia mencapai kepadatan penduduk melebihi 500 ribu orang. Juara musim 2009/10 ialah Arema Indonesia, letaknya di Malang dan berkepadatan 1.75 juta penduduk. Daerah Malang ini menempatkan satu lagi pasukan iaitu Persema Malang di dalam LSI, puratanya 875 ribu penduduk untuk setiap pasukan. Manakala naib johan musim 2009/10 ialah Persipura Jaya, letaknya di daerah Papua yang berkepadatan penduduk 2.9 juta (2010). Daerah Papua menempatkan satu lagi pasukan iaitu Persiwa Wamena. Jadi 1.45 juta penduduk untuk setiap pasukan. Secara ringkas, total timnas bola dalam Liga Indonesia ialah 161 pasukan (ISL sampai Divisyen Kedua jer sebab Divisyen Ketiga dikira Liga Amatur), tapi Indonesia ada 237 juta penduduk, jadi secara puratanya ada 1.47 juta penduduk untuk setiap pasukan. Tak hairanlah kalau setiap pasukan ni mampu berdaya saing sesama sendiri kan.

Kalau kita lihat keadaan di Malaysia, rata-rata daerah berkepadatan rendah. Hanya 11 daerah yang melebihi kepadatan 500 ribu penduduk iaitu 6 di Selangor (Subang Jaya, Klang, Ampang Jaya, Shah Alam, Petaling Jaya dan Shah Alam), 2 di Sabah (KK dan Sandakan) dan 3 lagi masing-masing di Johor Bahru, Ipoh dan Kuching. Aku rasa hanya 11 daerah nih jer yang akan survive dari masalah kewangan kalau menjadikan kutipan tiket sebagai hasil pendapatan utama. Kalau Gombak FC yang berkepadatan 80 ribu penduduk nak berlawan dengan Pasir Mas FC yang ada 19 ribu penduduk, sapa laa yang nak pergi tengok.

Apa yang aku nak sampaikan di sini? Bagi aku, pasukan negeri tak patut dimansuhkan sama sekali. Sebabnya pasukan negeri sudah terbukti ada market dan ada penyokong sendiri. Pasukan negeri sepatutnya diasingkan daripada FA negeri dan disyarikatkan. Biarkan orang ramai dan syarikat-syarikat besar di Malaysia menjadi pemegang saham, bukan hanya setakat penaja. Petronas contohnya mungkin akan menaja negeri yang berkepentingan dengan mereka seperti Sarawak, Plus dengan KL dan Pahang dgn Genting (boleh dipertimbangkan kot). Maybank, CIMB, Maxis pun mesti nak tumpang sekaki sekali untuk promosi.

Dalam masa yang sama, daerah-daerah yang berkepadatan penduduk tinggi tu boleh diketengahkan menjadi pasukan kelab. Kelab-kelab nih risikonya rendah sebab dengan kepadatan tinggi, penyokongnya dijangka ramai. Macam pasukan negeri jugak, saham-saham patut dijual kepada orang ramai dan syarikat-syarikat besar. Buat apa letak iklan Ini Daerah Celcom dekat merata Ampang kalau Celcom tak berani beli saham Ampang Jaya FC. CEO-CEO syarikat besar, datuk-datuk dan VVIP pun kena ubah skop pemikiran. Buat apa taja artis glamer sampai setahun dua yang akhirnya merejek korang kerana kegemukan dan kehodohan korang. Baik korang taja kelab bola Subang Jaya United, lagi berfaedah. Senang citer, Selangor jer laa yang kita mansuhkan dari Liga Malaysia dan pecahkan kepada 6 kelab berasingan..huahuahua.

Akhir kata, kalau diformulakan dengan betul, pasukan kelab dapat mempunyai jumlah penyokong yang ramai untuk menjana pendapatan mereka sekaligus duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pasukan negeri yang ada.