Sunday, March 27, 2011

Earth hour: Jangan pandang luaran

Earth Hour ini disambut selama sejam bermula pukul 8.30 malam 26 Mac setiap tahun. Seingat aku, Malaysia turut serta menyambut Earth Hour bersama sama penduduk di seluruh dunia lebih kurang 3-4 tahun yang lepas. Tugas utama penduduk dunia semasa Earth Hour ialah bergelap dan mengurangkan penggunaan bahan api selama sejam antara pukul 8.30 malam hingga 9.30 malam.


Okey, aku sebenarnya terlupa dan tak sambut pun Earth Hour ini. Walaupun aku tak sambut tapi tak bermakna aku tak sokong. Aku cuma terlupa saja walaupun Earth Hour ini telah dikormesialkan sebegitu hebat sekali. Salah aku sebenarnya. Namun apa yang aku nak komen adalah dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa projek Earth Hour ini tidak berhasil.


Kata mereka, projek Earth Hour tidak berhasil kerana dikormesialkan. Ramai manusia hanya suka duduk bergelap beramai ramai atau berdua duaan selama sejam dan lepas itu kembali membazirkan bahan api sekaligus menyeksa bumi. Kata mereka lagi, apa guna berjimat selama sejam jika hasilnya tidak seberapa malahan aku rasa ada kajian yang dibuat untuk membuktikan bahawa bergelap selama sejam semasa Earth Hour meninggalkan kesan yang lebih teruk ke atas bumi. Aku macam pernah dengar tapi aku tak pasti.


Sebenarnya, apa yang aku rasa cuba disampaikan oleh penganjur dalam projek Earth Hour bukanlah bermaksud dengan bergelap itu dapat memberikan sumbangan besar secara terus ke atas bumi. Bukan. Apa yang cuba disampaikan mereka pada aku adalah supaya penduduk dunia ini berhenti sekejap dan berfikir. Bila dah duduk dalam gelap dan tak buat apa apa selalunya manusia akan berfikir. Secara tak langsung ini menyuruh manusia berfikir tentang dunia, tentang kerosakan yang dilakukan dan tentang apa sumbangan yang patut manusia lakukan untuk menyelamatkan dunia ini.


Dengan terlibat sama dalam projek Earth Hour, secara tak langsung mereka berasa bahawa mereka telah terlibat sama dalam misi menyelamatkan dunia. Dalam proses itu mereka mungkin akan berasa seronok. Sebenarnya manusia memang senang berasa seronok apabila melakukan kebaikan. Memang dah lumrah kot. Dan bila manusia mula berasa seronok, pasti mereka akan cuba mengulangi keseronokan itu. Dari sini, akan timbul satu kesedaran untuk menjaga bumi ini yang walaupun kecil tetap layak dipanggil kesedaran.


Tak percaya ataupun tak paham dengan apa yang aku cakap? Okey, aku beri satu contoh mudah. Sekarang ini kan ada kempen tiada beg plastik di kompleks membeli belah pada hari Sabtu. Kalau ikut logik, manusia akan marah kerana ini membebankan mereka. Mana tak beban kalau beli sampai penuh satu troli tapi tak ada beg plastik. Ada penentangan tapi minimal. Yang majoriti menyokong usaha ini dan sanggup keluar duit 20 sen kalau terpaksa, contohnya kalau beli barang basah macam ikan. Kenapa manusia menyokong perkara yang membebankan mereka? Kerana ada kesedaran bahawa apa yang mereka buat ini menolong bumi dan secara tak langsung mereka rasa seronok. Okey, aku tak tahu pasal orang lain tapi memang aku rasa seronok kalau dapat membuat sesuatu untuk bumi. Mungkin kerana aku asal dari tanah.


Siapa berani kata yang dia pasti benda ini tak ada kaitan langsung dengan projek Earth Hour? Aku tak berani sebab aku dapat kaitkan benda ini dengan benda itu. Dan siapa kata yang dengan mengkomersialkan Earth Hour, projek ini tak menepati matlamatnya. Bagi aku komersial itu penting sebab dapat menyampaikan info dan promosi kepada lebih ramai orang untuk turut serta. Ala, kalu ditengok balik, tak perlu sebenarnya bergelap selama sejam kalau masa tidur kita tutup lampu. Dari situ kita dah dapat bergelap 6-8 jam. Setiap hari pula. Namun yang penting pengisiannya. Kita bergelap 6-8 jam untuk tidur tetapi kita bergelap sejam untuk berfikir tentang bumi.


Kesimpulannya, jangan pandang luaran sahaja pasal projek Earth Hour ini. Cuba tengok apa kesan yang mampu dicapai apabila manusia berfikir tentang bumi selama sejam dan berjam jam sebelum itu melalui promosi yang dijalankan. Kalau tengok dalam tv pun mesti ada perasaan terharu bila nampak bandar bandar utama dunia memadamkan lampu dan bergelap. Satu perasaan yang indah bukan?


Nota kaki:
JAIS:       Ni buat apa dalam gelap dua orang nih?
Pasangan: Err..sambut Earth Hour, bang..huahauhaua