Friday, March 18, 2011

Perkembangan terkini Jepun

Selepas seminggu gempa bumi di Japan, keadaan kelihatan semakin teruk. Disebabkan pekerjaan aku ditemani siaran CNN sepanjang masa bekerja, aku boleh dikatakan mengetahui pelbagai maklumat mengenai bencana ini. Nampaknya angka kematian sudah mencecah 6,500 mangsa setakat ini.

Namun berita yang lebih menakutkan ialah potensi untuk berlakunya kebocoran radiasi (dan mungkinnya letupan) di reaktor reaktor nuklear yang terdapat di Fukushima Daiichi. Dikhabarkan tahap radiasi sudah mencecah 20 millisieverts sejam (keadaan biasa di negara membangun ialah 3 millisieverts setahun). Kalau tengok alat sukatan yang digunakan semalam, boleh nampak jarum meter sudah melepasi tahap maksimum bacaan dalam alat tersebut.

Kenapa reaktor reaktor ini boleh rosak? Dikhabarkan reaktor reaktor ini telah ditutup selepas bencana gempa bumi. Namun limpahan air disebabkan tsunami telah melimpah ke dalam kawasan reaktor dan merosakkan alat yang mengekalkan suhu, menyebabkan suhu meningkat ke paras bahaya. Dikhabarkan kalau tidak dapat dibendung dalam masa 48 jam, bencana yang seburuk Chernobyl akan melanda Jepun. Kerajaan Jepun pula telah memerintah evakuasi kepada 200,000 orang yang tinggal dalam lingkungan 20 kilometer berhampiran kawasan reaktor. Aku tak pasti berapa dekat Tokyo dengan Fukushima tapi ramai penduduk sudah meninggalkan Tokyo sebagai langkah selamat.

Membaca berita ini mengingatkan aku kepada beberapa anime yang pernah aku tonton. Okey, bukanlah aku nak memperlawakkan hal ini tapi dah teringat nak buat macam mana kan. Dalam anime itu, mereka cuba membawa tema macam mana keadaan Jepun jikalau ada wabak atau radiasi tercemar. Ada manusia menjadi mayat hidup dan ada yang tidak boleh hidup di luar lagi. Ironinya, kini mereka mungkin akan berhadapan dengan keadaan yang hampir sama jika masalah ini tidak dapat dibendung.

Apapun, aku berharap yang semuanya akan selamat dan malapetaka yang dahsyat dapat dibendung. Walaupun harapan mungkin tipis tapi sebagai manusia, jangan berhenti berharap.

Nota kaki: Dalam masa yang sama, Gaddafi menyerang revolusioner yang diibaratkan sebagai pembelot. Dunia, ada orang yang berlumba lumba untuk menyelamatkan manusia namun ada yang berlumba lumba untuk memusnahkan demi kuasa.